Mengenali Diri Sendiri
Setiap yang dilahirkan dimuka bumi ini akan
melalui suatu tempuh masa yang dinamakan kehidupan.Setiap orang akan
menafsirkan kehidupan ini berdasarkan maklumat dan pengalaman yang diterimanya
sejak dia mula berfikir dan dapat menyimpan memorinya.Bagi seorang
muslim dia melalui satu jalan pintas untuk mengetahui apakah sebenarnya hakikat
kehidupan ini melalui maklumat yang diterangkan oleh al Quran dan Sunnah
Rasulullah s.a.w.
Mengenali Hakikat Diri …
Manusia adalah makhluk yang paling unik yang
diciptakan Allah di alam buana ini. Kemuliaannya boleh mengatasi ketinggian
para malaikat akan tetapi kehinaannya pula boleh sampai lebih hina
daripada binatang. Itulah yang digambarkan Allah:
“Sesungguhnya kami jadikan manusia itu
sebaik-baik kejadian, kemudian kami kembalikannya ke tempat yang paling
rendah,.. kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh…” (al Tin ayat: 4-5)
Kemuliaan atau kehinaan adalah dua pilihan yang
mesti dibuat oleh manusia kerana kedua-duanya adalah berbeda. Jalannya juga
berbeda dan tidak boleh bercampur. Bagi yang memilih kemuliaan dan ketinggian
maka jalan yang digambarkan oleh al Quran sebagai jalan yang lurus dan itulah
jalan menuju Allah Yang Maha Tinggi. Adapun jalan yang bercabang atau bengkok
adalah jalan menuju kehinaan dan kerendahan.
“Dan inilah dia jalanku jalan yang lurus ,
maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu ikuti jalan-jalan yang
lain nescaya kamu akan berpisah daripada jalannya…”
Manusia juga mesti mengenali hakikat dirinya
sendiri serta mengetahui apa yang perlu disediakan untuk memudahkannya
sampai kepuncak kemuliaan dan ketinggian.Seperti seorang yang bermusafir
yang mengetahui selok belok kenderaan yang dinaikinya serta apa yang diperlukannya
semasa perjalanan akan lebih mudah untuk sampai ke distinasi yang ditujunya,
begitu juga di dalam perjalanan menuju Allah Yang Maha Tinggi.
Hakikat kejadian manusia seperti digambarkan
oleh al Quran dan al Sunnah terdiri daripada LIMA unsur yang setiap satunya diberi
penekanan oleh Islam di dalam pembinaan,pemeliharaan dan penyelenggaraanya.
1-Tubuh fizikal:
Terdiri daripada anggota zahir serta organ-organ
dalaman yang memerlukan pemakanan serta pergerakan tertentu untuk
memeliharanya. Allah memerintahkan kita menjaganya serta mengelaknya daripada
sebarang kemusnahan.
“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu
kepada kemusnahan…”
” Makanlah dan minumlah dan jangan kamu
berlebih-lebihan…”
2-Ruh/Nyawa:
Hanya Allah sahaja yang mengetahui tentang
hakikat kejadiannya.., Ruh atau nyawa menjadikan tubuh fizikal manusia boleh
berfungsi dan segala kecantikan dan kehebatan tubuh fizikal tanpa ruh
tidak ada ertinya.
” Mereka menanyakanmu (wahai Muhammad) tentang
Ruh, katakanlah Ruh itu daripada urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu
melainkan sedikit sahaja.”
3-Akal
Akal adalah merupakan anugerah Allah kepada
manusia yang membezakannya dengan binatang.Ia menterjemahkan segala apa
yang diterima oleh panca indra . Apa yang dilihat, didengar,disentuh dan dirasa
semuanya akan diterjemahkan oleh akal sebagai maklumat. Antara kemampuan
akal juga, boleh menyimpan serta menganalisa maklumat yang
dikumpulkan. Ia berfungsi kepada manusia sebagai penasihat atau perunding yang
sentiasa menasihati untuk kebaikan diri manusia jangka panjang berdasarkan
maklumat yang diterimanya . Jika betul dan baik maklumat yang diterima
dan disimpan serta tepat analisanya, maka akan betul dan tepatlah nasihat yang
diberikan kepada diri itu, begitulah sebaliknya jika tidak baik atau buruknya
maklumat yang diterima serta tidak betulnya cara analisa yang dibuat,
maka akan lahirlah nasihat yang tidak baik oleh akal tersebut kepada diri itu. Walaubagaimanapun
akal bukan pemutus kepada diri sama ada melakukan sesuatu tindakan atau tidak
dan ia masih merupakan unsur neutral dalam diri seseorang dan
bukan penentu untuk manusia membuat pilihan dalam tindakannya sama ada ya atau
tidak.
Dalam hal ini Islam amat menitik beratkan dalam
pembinaan dan pemeliharaan akal manusia. Islam menjadikan memelihara
akal sebagai keperluan yang ketiga dituntut daripada lima keperluan iaitu
Agama,nyawa, akal, keturunan dan harta di mana segala hukum hakam syariat
berligar di atas lima keperluan ini. Malah Islam mengangkat Taklif (tidak
dikira dosa dan pahala) ke atas seseorang apabila dia tidak berakal. Begitu
juga Islam menfardhukan setiap muslim dan muslimah supaya menuntut ilmu dan
Rasulullah menyatakan bahawa jika sekiranya Allah menghendaki seseorang itu kebaikan
maka Allah akan memberi kefahaman kepadanya terhadap Agama. Begitu juga Islam
mewajibkan kita supaya Tathabbut (mempastikan) terhadap setiap
berita dan maklumat yang kita terima supaya akal tidak memberi nasihat
kepada diri kita untuk mengambil apa-apa sikap dan tindakan berasaskan maklumat
yang salah.
Mukmin yang menjadikan sumber maklumatnya
daripada al Quran dan al Sunnah serta berita dan ilmu Tajribi (pengalaman)
yang tepat dalam membentuk tasawwur terhadap sesuatu perkara adalah manusia
paling beruntung kerana akalnya akan senantiasa memberikan nasihat yang tepat
untuk kebaikan dirinya sama ada dalam hidupnya beragama ataupun untuk hidupnya
di dunia.
4- Nafsu
Ia merupakan satu elemen dalam diri manusia yang
merupakan penasihat atau perunding keduakepada diri manusia. Ia
sentiasa mendorong seseorang supaya mendapatkan kelazatan segera tanpa
melihat akibatnya. Apa saja yang boleh mendatangkan kelazatan atau
keseronokkan kepada diri sama ada dalam bentuk fizikalnya
seperti makan, minum, sek , kelazatan mendengar dan melihat atau dalam
bentuk maknawi seperti kelazatan mendapat kemegahan serta pujian orang,
kelazatan berkuasa dan sebagainya.
Ia merupakan unsur atau elemen yang perlu kepada
manusia untuk penerusan hidup manusia dan zuriatnya di atas muka bumi ini,
tetapi ia mesti dibendung dan dilatih supaya kerakusannya tidak memudharatkan
serta memporakperandakan kehidupan di alam ini.
” Demi jiwa serta penyempurnaan
(ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan
ketaqwaannya. Sungguh beruntung bagi siapa yang menyucikan jiwa itu dan sungguh
rugilah orang yqng mengotorinya..” (al Syams 7-10)
Islam sebagai agama yang Syumul amat
menititberatkan dalam pendidikan mengawal nafsu. Pensyariatan Puasa, hukum
menundukkan pandangan kepada bukan muhrim, hukum nikah kahwin, halal haram
dalam pemakanan dan yang lainnya semuanya bermatlamatkan melatih dan membendung
nafsu supaya ia dapat berfungsi sebaiknya kepada manusia. Sekurang-kurangnya
Allah mengkategorikan kepada tiga peringkat atau darjat nafsu manusia. pertama Nafsu
Ammarah yang sentiasa mendorong manusia kepada kejahatan, kedua Nafsu
Lawwamah yang sentiasa mencela dirinya apabila terlanjur melakukan
kejahatan dan Nafsu al Mutmainnah yang hanya mendorong diri
kepada apa yang diredhai Allah sahaja. Pokoknya nafsu boleh di latih dan
dididik sehingga dia menjadi penasihat yang baik kepada diri seseorang.
Tetapi apabila ia dibiarkan tanpa didikan ia tak akan puas sehingga menjadi rakus
dan memudharatkan makhluk lain di bumi ini. seperti kata-kata hukama’:
” Nafsu ibarat kanak-kanak menyusu… jika
dibiarkan dia akan ketagih susu sampai ke Muda, tetapi apabila di hentikan
(fitam) dia mampu untuk meninggalkannya”
“wahai jiwa yang tenang ,kembalilah kepada
Tuhanmu dalam keadaan redha dan di redhaiNya, maka masuklah di kalangan
hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu” (al Lail 27-30)
5- Hati ( al Qalb)
Inilah elemen yang paling penting dalam diri
manusia. seperti kata-kata Rasulullah s.a.w :
” Apabila Ia baik maka baiklah seluruh
anggota jasadnya dan apabila Ia buruk maka buruklah segala jasadnya…,
ketahuilah bahawa ia adalah Hati.”
Ia ibarat raja dalam sesebuah negara, segala
sesuatu ditentukan olehnya. Dialah yang membuat pilihan, anggota lain termasuk
tangan dan kaki hanya pelaksana kepada pilihan yang dibuatnya. Anggota lain
tidak akan bertindak melainkan setelah pilihan yang ditentukan olehnya.
Termasuk akal fikiran dan juga Nafsu hanya sebagai perunding dan
penasihat kepadanya. yang menentukan keputusan sama ada ya atau tidak
adalah hati. Oleh itu Islam amat menekankan dalam pembentukan hati yang
sejahtera. Hati yang benar-benar mengenali siapa Penciptanya.Hati yang
sentiasa menyerah dan tunduk kepada perintah Tuhannya.Hati yang redha
dengan ketetuan Penciptanya.Hati yang kuat dan kental dalam
menegakkan dan memperjuangkan prinsip yang diperintahkan kepadanya. Hati yang
selamat daripada segala kotoran hasad dengki, tamak dan bakhil…Malah perjalanan
menuju Allah adalah sebenarnya perjalanan hati…Dan anggota lain sebagai
kenderaan… dan kehidupan adalah jalan-jalan yang terpaksa
dilalui.. Akhirnya Allah menerima untuk menemuiNya
kelak hanya mereka yang datang dengan memiliki hati-hati
suci yang sejahtera…
Tidak ada komentar:
Posting Komentar